KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menafikan dakwaan beliau menerima penganugerahan Datuk Seri bersempena dengan Hari Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada Mei ini.
Penafian tersebut dibuat selepas satu poster ucapan tahniah kepada beliau berhubung penganugerahan darjah kebesaran itu mula tular di laman sosial.
Mohd. Shukri berkata, setakat kini, tiada sebarang kurniaan pangkat atau gelaran yang dianugerahkan secara rasmi kepadanya seperti mana penularan poster tersebut.
“Sebaran poster ini dilihat sebagai satu tindakan bersifat khianat, fitnah dan cuba mewujudkan suasana tidak harmoni antara kerajaan negeri serta pihak istana,” katanya.
Berikutan itu, Mohd. Shukri berkata, satu laporan telah dikemukakan oleh wakilnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kes itu.
Katanya, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan meneliti tindakan selanjutnya dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi.
“Tindakan sebegini adalah sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
“Semoga tindakan tegas dapat diambil kepada mereka yang memulakan fitnah dan berita palsu sebegini,” katanya.-UTUSAN