KANGAR: Pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Persiaran Wawasan di sini, menjadi simbol kemajuan ummah dalam kerangka syariat dan melambangkan kesungguhan Perlis memartabatkan institusi agama Islam.
Masjid itu bukan sekadar rumah ibadah, namun turut berperanan sebagai pusat dakwah, pembangunan sahsiah, pendidikan Islam dan pengukuhan perpaduan ummah.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pembinaan masjid di lokasi tersebut juga dapat menampung jumlah pertambahan penduduk yang semakin meningkat di kawasan Kangar.
“Selain itu, ia dapat mempertaut hubungan antara pihak berkuasa dan pentadbiran negeri dengan masyarakat awam, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan dalam perkhidmatan kerajaan,” titah baginda pada majlis pecah tanah masjid itu, semalam.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.
Majlis yang dianjurkan itu juga merupakan antara agenda utama sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin selaku Raja Perlis dan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-82.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kewujudan masjid ini diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan sosio ekonomi setempat.
“Tambahan pula, masjid ini dapat menjadi pusat pembangunan ilmu yang menyuburkan budaya keilmuan dan kefahaman Islam yang sahih, berteraskan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan negeri ini,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha pembangunan masjid itu meliputi pelbagai aspek termasuk daripada segi kewangan. – UTUSAN