KOTA KINABALU: Presiden wanita Persatuan Wartawan Sabah (SJA) yang pertama, Mariah Airiens Doksil, telah menyatakan hasratnya untuk membawa perubahan ke dunia kewartawanan di Sabah.
Mariah, yang telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding ketika mesyuarat dwitahunan di pejabat SJA di Penampang pada Ahad, ingin menggalakkan lebih ramai penulis muda untuk menyertai persatuan dan program latihannya.
Beliau berkata, SJA juga merancang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Penerangan (JaPEN) bagi memberi akses dan pemperolehan maklumat yang lebih baik bagi penulisnya.
“SJA juga sedang berbincang untuk meningkatkan hadiah wang tunai bagi pemenang-pemenang utama pada Kinabalu Press Awards tahun ini.
“Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penulis menghantar lebih banyak artikel berkualiti bagi majlis anugerah tersebut,” beliau berkata.
Sebagai presiden SJA wanita pertama sejak persatuan itu ditubuhkan pada tahun 1994, wartawan dari The Borneo Post tersebut berharap dapat menjadi inspirasi kepada penulis atau wartawan wanita.
Dan sebagai seorang ibu kepada tiga anak lelaki, beliau ingin menepis tanggapan bahawa keseimbangan kerja dengan kehidupan tidak dapat dicapai sebagai seorang wanita dalam bidang ini.
“Saya boleh katakan bahawa SJA kini memperkasakan kaum wanita.
“Mereka percaya saya untuk memimpin satu persatuan besar dengan ratusan ahli, dan saya juga menang tanpa bertanding tanpa mana-mana pencabar lelaki.
“Ini semua membuktikan bahawa mereka percaya wanita boleh melakukan semua perkara ini,” beliau berkata.
Beliau juga membayangkan persatuan itu sebagai ruang selamat untuk wartawan menyuarakan kebimbangan mereka membabitkan isu kewartawanan.
Selain itu, beliau ingin menggalakkan ahli-ahli persatuan untuk membuat lebih banyak penulisan mengenai isu-isu di negeri ini, termasuk isu hak asasi manusia.
“Dengan perkembangan pesat media sosial, saya selalu mengatakan bahawa SJA tidak boleh menjadi ‘polis’ kepada pemberita.
“Namun begitu, kita juga perlu bertanggungjawab ketika menulis mengenai isu sensitif sebegini,” beliau menasihati.
Bekas presiden SJA Datuk Muguntan Vanar yang tidak menyertai pemilihan kali ini, menyatakan bahawa beliau berundur diri bagi memberi laluan kepada generasi muda untuk memimpin persatuan tersebut.
Pemilihan bagi sesi 2025-2026 itu turut menyaksikan Ricardo Unto (Daily Express) sebagai naib presiden persatuan yang baharu, Siti Aisyah Narudin (Utusan Borneo) sebagai setiausaha, Mohd Nazlie Zainul (Kosmo!) sebagai penolong setiausaha, Angela Tan Giok Seh (Sin Chew Daily) sebagai bendahari dan Nancy Lai (The Borneo Post) sebagai penolong bendahari.
Ahli jawatankuasa baharu ialah Vivi Olviana Najurus (Utusan Borneo), Fardy Bungga (Nabalu News), Sandra Sokial (TheStar), Stephanie Lee (TheStar) dan Jegathisan A/L Sivanesan (The Borneo Post). – UTUSAN