SUNGAI PETANI: Sebuah keluarga yang menjadi mangsa penipuan syarikat katering pada Hari Raya Aidilfitri ketiga, minggu lalu menerima semula wang mereka selepas mendakwa ditipu berkaitan tempahan makanan.
Muhammad Aiman Arif Azhar, 28, berkata, mereka membuat bayaran sebanyak RM5,410 kepada syarikat itu untuk menyediakan juadah sempena majlis akikah termasuk seekor lembu bagi tujuan itu.
“Walaupun pihak katering memulangkan semula wang, namun saya terkilan kerana hasrat mengadakan majlis akikah untuk anak yang sangat-sangat dituntut dalam ajaran Islam tidak kesampaian.
“Tempahan dibuat oleh ibu saya kira-kira dua minggu lalu dan pihak terbabit membawa melihat lembu yang akan digunakan dalam majlis itu. Tapi pada pagi raya ketiga, pemilik katering telefon ibu memaklumkan lembu itu telah dijual kepada orang lain dengan alasan dia turut ditipu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 4 April lalu, akhbar ini melaporkan, niat seorang lelaki mahu mengadakan majlis akikah anaknya terpaksa diubah menjadi jamuan biasa apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat katering.
Tambah Muhammad Aiman Arif, dia sepatutnya mengadakan majlis akikah untuk anaknya berusia setahun bersama anak saudara, sembilan bulan.
“Kami telah jemput ramai ahli keluarga serta kenalan untuk memeriahkannya bersekali dengan sambutan Aidilfitri. Apa yang diharap majlis itu akan menjadi kenangan manis, namun sebaliknya titik hitam buat kami sekeluarga apabila hasrat kami gagal disempurnakan,” katanya.
Menurutnya, mereka juga pelik apabila pihak katering membuat laporan polis mendakwa ahli keluarganya merosakkan van yang disewa untuk membawa juadah pada hari kejadian kerana tidak berpuas hati dengan tempahan untuk majlis akikah.
“Namun hasil perbincangan dengan pihak polis, kemudiannya pemilik katering bersetuju memulangkan semula baki wang kami, selain menanggung sendiri kos kerosakan van kerana tidak dapat membuktikan kerosakannya berpunca daripada perbuatan kami,” katanya. – UTUSAN