SEGAMAT: “Kakak pesan belajar rajin-rajin,” itu kata-kata yang selalu dipesan oleh Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, mangsa kemalangan bas dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) semasa hayatnya kepada adiknya.
Menurut Muhammad Haziq Muhamad Karim, 15, dia tidak menyangka kakak sulungnya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
“Kami sekeluarga menerima perkhabaran duka mengenai kemalangan yang menimpa kakak apabila pihak universiti menghubungi ibu dan bapa saya yang sedang berniaga di kawasan memancing di Felda Chemplak, Labis.
“Ibu dan bapa saya berniaga kedai makan bermula waktu pagi sampai ke malam, kadang-kadang mula petang sampai malam.
“Masa pihak universiti hubungi, masa itu memang tidak percaya, kami berharap kakak selamat dan cedera biasa tetapi tidak lama kemudian dapat tahu yang kakak sudah meninggal akibat cedera parah,” katanya ketika ditemui di Felda Chemplak di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar wanita UUM maut dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, Kedah.
Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Manarina Hasya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Pelajar semester empat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan itu sedang menunggu giliran untuk menaiki bas terbabit sebelum kenderaan itu dilanggar sebuah lagi bas.
Tambah Muhammad Haziq, bapanya, Muhamad Karim Sulaiman, 41, dan ibu, Hariah Ahmad, 46, menganggap Manarina Hasya merupakan harapan keluarga, namun kini telah pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
Muhammad Haziq berkata, selepas mengetahui berita menimpa Manarina Hasya, ibu, bapa serta kakak kedua, Nur Fikriah Muhamad Karim, 17, terus bergegas menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru untuk ke Subang, Selangor sebelum ke HSB.
Muhammad Haziq yang merupakan anak ketiga juga menyatakan, Allahyarhamah kakaknya merupakan seorang kakak yang tegas dan penyayang.
“Kakak selalu berpesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh, kena rajin belajar jangan berhenti, kena belajar sampai habis kalau berhenti susah hendak dapat kerja. Memang saya akan sambung belajar, saya akan ingat pesan kakak untuk sambung belajar sama macam kakak,” katanya. – UTUSAN