SUBANG JAYA: Hasrat seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini untuk berpindah masuk ke rumah sewanya tidak kesampaian apabila kawasan perumahan itu dilanda pula banjir kilat awal pagi tadi.
Mangsa, Harib Abu Bakar, 54, berkata, dia sepatutnya berpindah ke rumah inap desa yang baru disewa di Kampung Kuala Sungai Baru hari ini namun terpaksa menangguhkan niat itu berikutan hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku.
Menurutnya, rumah yang didiaminya sejak 13 tahun lalu telah musnah dalam kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu, menyebabkan dia sekeluarga terpaksa mencari kediaman baharu untuk berteduh.
“Saya sekeluarga memang bercadang untuk masuk ke rumah sewa itu selepas solat Jumaat tetapi disebabkan banjir kilat, niat itu terpaksa ditangguhkan.
“Kami dimaklumkan paras air banjir naik sehingga ke paras pinggang. Tuan rumah pula sedang membersihkan rumah tersebut sejak puku 8 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Buat masa ini, dia bersama keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Dia berkata, mereka amat berharap tempoh penempatan di PPS itu dilanjutkan sehingga rumah baharu yang ingin diduduki selesai dibersihkan dan boleh dihuni.
“Pilihan yang kami ada sekarang hanyalah terus tinggal di PPS buat sementara waktu.
“Jika PPS mahu ditutup, kami berharap pihak berkuasa dapat menyediakan penempatan alternatif atau rumah lain yang boleh kami duduki,” ujarnya. – UTUSAN