Mangga King, belum tuai, sudah ditempah

Mangga King, belum tuai, sudah ditempah

ZUHARI Mat menunjukkan buah Mangga King di kebunnya di Kampung Bari Besar, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Permintaan tinggi terhadap Mangga King Terengganu menyaksikan buah mangga tersebut ditempah awal walaupun belum cukup tempoh untuk dituai.

Pengusahanya, Zuhari Mat berkata, Mangga King Terengganu setanding dengan buah harum manis yang popular di Perlis yang mana penanamannya di tanah bris atau tanah berpasir di kawasan pantai di negeri ini.

Katanya, buah mangga itu dijangka dituai pada awal bulan depan bagi peringkat pertama dan pelanggan tetapnya sudah membuat tempahan secara dalam talian sejak bulan lalu.

“Pengeluaran Mangga King peringkat pertama ini adalah buah yang dihasilkan di luar musim atau juga dikenali sebagai buah stres selepas musim banjir. Cuaca panas berpanjangan selepas banjir mendorong proses pokok berbunga dan berbuah.

“Musim sebenar berbuah bagi Mangga King Terengganu adalah pada bulan Mac tetapi mangga luar musim ini mengeluarkan buah sejak Februari lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bari Besar di sini.

Menurut Zuhari, dianggarkan 250 biji dengan berat 100 kilogram (kg) Mangga King luar musim akan dituai pada bulan depan manakala satu tan metrik bagi hasil keseluruhan tuaian tahun ini dijangka diperoleh daripada 110 pokok yang ditanam di kebunnya itu.

Katanya, jumlah itu meningkat satu kali ganda berbanding pengeluaran buah pada tahun lalu.

Ujarnya, peningkatan pengeluaran buah itu bergantung kepada cuaca semasa kerana Mangga King memerlukan cuaca panas dalam tempoh yang panjang untuk berbuah.

“Lazimnya bagi memastikan kualiti buah ini terjaga, kita membalutnya apabila buah mencecah ukur lilit 16 hingga 19 sentimeter sehingga mencapai tempoh matang 56 hari.

“Selain itu, proses meracun juga dilakukan satu kali seminggu bagi mengelakkan buah mangga terkena serangan penyakit dan ancaman serangga yang dikhuatiri boleh merosakkan kualitinya,” katanya.

Buah Mangga King itu dijual pada harga runcit RM30 bagi satu kilogram dan RM25 satu bagi pembelian melebihi dua kilogram. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya