BUTTERWORTH : Malaysia bersedia mencari jalan atau alternatif baharu dalam mendepani kemelut ekonomi susulan pelaksanaan tarif timbul balik oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini, segala kekuatan yang ada termasuk hubungan baik dengan AS, Eropah serta China selain ASEAN akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan itu.
“Saya sudah hubungi semua kawan-kawan di negara ASEAN dan semuanya sudah berpakat. Mereka kata akan teruskan usaha dengan mencari jalan atas nama dan semangat ASEAN, 10 negara ASEAN.
“Ini (kesepakatan) sangat baik. Jadi, kita bukan bergerak sebagai Malaysia (sahaja), kita gerak (bersama) sebagai satu kekuatan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, petang tadi.
Mengulas mengenai kebimbangan Pulau Pinang berhubung tarif yang dikenakan itu kerana industri eksport semikonduktor di negeri itu kini melebihi RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah ke AS, Anwar berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai perkara itu.
“Saya telah menasihatkan beliau (Kon Yeow) bahawa, dalam setiap cabaran, setiap krisis, kita boleh merungut dan menyerah kalah. Atau, kita juga boleh kumpulkan tenaga untuk mencari penyelesaian, kita perlu cari jalan untuk bangkit.
“Tapi syaratnya kita mesti jadi contoh baik. Malaysia mesti aman, ekonomi mesti stabil, dasar ekonomi mesti jelas, rakyat mesti gigih bekerja dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada,” ujar beliau.-UTUSAN