Malaysia sasar jadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030

Malaysia sasar jadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030, sejajar dengan usaha memperkukuh kedudukan negara dalam landskap teknologi global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, sejajar dengan hasrat itu, negara perlu melahirkan rakyat sebagai pencipta teknologi.

“Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan ke-33 daripada 133 negara dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024. Kita menyasarkan untuk melonjak ke tangga ke-20 hingga ke-30,” katanya ketika sesi TechTalks: The Advancement of Artificial Intelligence: Can We Keep Up? di Universiti Malaya di sini hari ini.

Katanya, pelbagai inisiatif sedang digerakkan bagi memperkukuh ekosistem teknologi negara termasuk pembinaan satelit dan pembangunan vaksin berasaskan manusia.

Ujarnya pengalaman berdepan pandemik Covid-19, dulu menjadi pengajaran kepada negara apabila terpaksa bergantung kepada negara luar bagi medapatkan vaksin.

“Harga vaksin meningkat akibat permintaan tinggi. Sekiranya kita menghasilkan vaksin sendiri, kos dapat dikurangkan dan kebergantungan dapat diminimumkan,” katanya.

Tegasnya, negara menduduki kedudukan pertama dalam kategori peratus graduan bidang sains dan teknologi di peringkat global yang sekaligus membuktikan negara memiliki tenaga mahir yang mencukupi.

“Walaupun daripada segi keseluruhan kita masih perlu diperbaiki, pencapaian dalam empat kategori termasuk jumlah graduan sains dan teknologi sangat membanggakan,” katanya.

MOSTI katanya, komited memperkembangkan kecerdasan buatan (AI) dengan menyuntik dana kepada institusi pengajian tinggi awam.

“Tahun lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima RM20 juta. Tahun ini, RM50 juta lagi diperuntukkan kepada lima universiti termasuk USM dan UKM untuk pembangunan AI dalam pelbagai sektor,” katanya.

Langkah berkenaan sebagai strategi penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan dan kepesatan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya