Malaysia perlu kekal fokus perdagangan bebas – IDEAS

Malaysia perlu kekal fokus perdagangan bebas – IDEAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu terus menjalin perkongsian jangka panjang saling menguntungkan dengan negara yang komited terhadap perdagangan bebas dan adil. 

 

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Stewart Nixon berkata, penekanan juga harus diberikan kepada peningkatan ketelusan institusi dan pemerkasaan reformasi struktur bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang stabil, berdaya tahan dan mampan.

 

“Para penggubal dasar perlu sedar bahawa kejutan ekonomi memberi kesan paling besar kepada golongan rentan dan perniagaan kecil. 

 

“Malaysia mesti berwaspada untuk mengurangkan kerentanan ini, tatkala Amerika Syarikat kelihatan seolah-olah sengaja mewujudkannya,” katanya dalam kenyataan mengulas tarif 24 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada negara ini.

 

Menurut Nixon, tarif membebankan yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump itu tidak berkaitan langsung dengan dasar perdagangan Malaysia atau mana-mana negara lain.

 

Kata beliau, purata tarif berwajaran perdagangan Malaysia ke atas import dari AS hanyalah 1.5 peratus, dengan lebihan dagangan barangan Malaysia lebih mencerminkan kelebihan daya saing dan pilihan permintaan berbanding sekatan perdagangan. 

 

“Tarif tersebut akan meningkatkan kos perdagangan, sekali gus menghalang pertukaran barangan dan perkhidmatan yang sebenarnya memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara, termasuk dalam meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan dan menurunkan harga,” katanya.

 

Dalam hal ini, beliau berkata, IDEAS menyambut baik tindak balas segera dan seimbang oleh kerajaan termasuk penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan pasukan petugas tarif oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

“Tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin strategi bersama di peringkat ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 amatlah tepat pada masanya dan wajar dipuji. 

 

“Tindak balas ini perlu disusuli dengan makluman berkala bagi meyakinkan para pemain industri dan orang awam bahawa kepentingan mereka dilindungi serta pasaran kekal kukuh dan stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya