CYBERJAYA: Malaysia menduduki tempat kesembilan sebagai pengeksport barangan teknologi tinggi terbesar di dunia pada tahun 2023, penarafan tertinggi yang pernah dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, nilai eksport teknologi tinggi negara meningkat sebanyak AS$2 bilion kepada AS$127 bilion pada tahun 2023.
Katanya, peratus eksport teknologi tinggi daripada keseluruhan eksport perkilangan juga meningkat daripada 52.48 peratus pada 2022 kepada 58.69 peratus pada 2023.
“Mengukur nilai eksport teknologi tinggi Malaysia bukan mudah. Takrifan ‘teknologi tinggi’ mesti mematuhi piawaian antarabangsa, termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Dunia.
“Data eksport perlu diselaraskan dan dinormalisasikan bagi membolehkan perbandingan yang tepat antara negara dan ekonomi. Untuk tujuan ini, Malaysia bergantung kepada pangkalan data COMTRADE Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya semasa pelancaran Laporan Prestasi Teknologi Tinggi Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Beliau berkata, sejak sekian lama, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) telah memikul tanggungjawab dalam mengira dan menjejak prestasi eksport teknologi tinggi Malaysia dan akan terus melaksanakan tugas penting ini pada masa akan datang.
Katanya, di samping MIGHT, beberapa institusi antarabangsa turut menggunakan indikator eksport teknologi tinggi sebagai ukuran utama untuk menilai daya saing dan kapasiti inovasi sesebuah negara.
“Prestasi membanggakan Malaysia yang menduduki tempat ke-9 dunia adalah sesuatu yang patut kita banggakan kerana ia mencerminkan pendekatan seluruh negara—kerajaan bersama industri—untuk memastikan ekosistem yang sesuai wujud bagi menyokong pertumbuhan industri teknologi tinggi.
“Namun situasi perdagangan global yang tidak menentu didorong ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta pengenaan tarif sebanyak 24 peratus ke atas kebanyakan eksport Malaysia ke AS baru-baru ini, dijangka memberi kesan terhadap prestasi eksport teknologi tinggi Malaysia dalam tahun-tahun mendatang, khususnya bagi tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, MOSTI komited memacu pembangunan landskap teknologi tinggi negara menerusi pengembangan dan pengukuhan ekosistem inovasi negara agar daya saing dapat dikekalkan dalam semua aspek pembinaan negara.
Katanya, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 telah digubal dengan matlamat ini, bukan sekadar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi, tetapi juga untuk memudahkan peralihan kita daripada pengguna kepada pembangun dan pencipta teknologi. – UTUSAN