PETALING JAYA: Malaysia menjadi negara pertama di dunia akan mengagihkan Kad Nusuk kepada jemaah haji sebelum berlepas ke tanah suci untuk musim tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, menerusi pelaksanaan itu, ia secara tidak langsung dapat mengelak penipuan pakej haji sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Ujarnya, ia juga merupakan satu pengiktirafan besar daripada kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan sistem pengurusan haji negara ini dan hasil hubungan erat antara kedua-dua negara.
Katanya, ini sekali gus menjadikan Malaysia negara perintis bagi projek pengedaran Kad Nusuk dalam negara sendiri.
“Kad Nusuk ini akan diedar Lembaga Tabung Haji (TH) di balai berlepas induk iaitu di Movenpick Hotel & Convention Centre sebelum jemaah haji bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seterusnya berlepas ke tanah suci.
“Kad Nusuk ini menentukan sama ada jemaah tersebut sah atau tidak dan secara tidak langsung ia menandakan bahawa seseorang jemaah tersebut telah melalui proses yang sah.
“Jika dibandingkan tahun lepas, Kad Nusuk diserahkan di Mekah beberapa hari sebelum tibanya hari wukuf,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Unit Proses Haji di Ibu Pejabat TH di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Na’im, Kad Nusuk akan diberikan kepada semua jemaah haji Malaysia sama ada di bawah pengurusan TH atau di bawah pengelola jemaah haji (PJH).
Jelasnya, sebanyak 45 peratus visa telah dikeluarkan daripada jumlah keseluruhan jemaah haji iaitu 31,600 orang. – UTUSAN