PUTRAJAYA: Malaysia menghargai komitmen pentadbrian Myanmar antara dua pihak iaitu Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang sepakat untuk mengelakkan sebarang peningkatan pertempuran di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan tumpuan dapat diberikan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Myanmar yang masih bergelut dengan konflik.
“Semangat kedua-dua pihak, SAC dan NUG, adalah bahawa keutamaan mesti diberikan kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan semula.
“Dalam masa yang sama, mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengelakkan lanjutan pertempuran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SAC, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Pengerusi NUG, Mahn Win Khaing Than semasa kunjungannya ke negara itu.
Pertemuan lebih sejam bersama Min Aung Hlaing turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
Anwar turut menyambut baik langkah terkini untuk meredakan ketegangan termasuk pembebasan 4,800 tahanan yang disifatkannya amat bermakna.
Perbincangan bersama Mahn Win Khaing Than memberi tumpuan kepada keperluan kemanusiaan yang mendesak bagi rakyat negara terbabit dan kepentingan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Dalam usaha pertemuan itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua organisasi tersebut atas pendirian tegas mereka bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara aman.
Ketika ditanya sama ada negara anggota ASEAN akan membincangkan isu berkaitan blok itu, Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya.
“Saya perlu berunding dengan pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain.
“Ini kerana pendirian ASEAN adalah untuk meneruskan penglibatan, konsensus lima perkara serta perbincangan inklusif dengan semua pihak, dan kemudian saya akan membawa perkara ini semula kepada ASEAN,” tambahnya. – UTUSAN