Malaysia hantar Hospital Medan ke Myanmar - Utusan Malaysia

Malaysia hantar Hospital Medan ke Myanmar

DUTA-duta dari beberapa negara bergambar kenangan ketika hadir pada Majlis  Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar di Kampung Tanjung Rantau, Seremban, hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia akan menghantar kemudahan hospital medan dalam masa terdekat ke kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher di Myanmar, baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Menurutnya, sebanyak 84 buah hospital runtuh di Myanmar dan mereka sangat memerlukan kemudahan pembedahan bergerak yang diuruskan oleh pakar-pakar perubatan.

“Ini sedang diuruskan dan kita minta supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berpakat (berbincang). Mereka boleh digerakkan bila-bila masa tetapi kita nak lihat berapa pakar kita nak hantar ke sana.

“Kita tak boleh mengharapkan mereka (Myanmar). Kita kena bawa kita punya kelengkapan, bekalan kerana kat sana memang susah. Air pun tak ada.

“Itu sebab Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) (Operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar) itu amat dipuji oleh pihak Myanmar kerana kita pergi sana terus buat kerja. 

“Jadi kita nak hospital medan kita lengkap. Ada lebih 30 bahagian (ruang). Ada bilik bedah, bilik x-ray dan kemudahan wad yang dilengkapi 30 katil. Kita mahu hantar yang sebegini,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau, di Kampung Tanjung, Rantau, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, lebih 50,000 individu hadir termasuk pemimpin-pemimpin negara, ketua-ketua jabatan, kedutaan negara seperti Turkiye, Sweden dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan puak-puak yang bertelagah di Myanmar untuk mengambil peluang bersama-sama memikirkan bagaimana membangunkan semula negara mereka susulan bencana tersebut.

Malah menurut beliau, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk membawa keluar atau menarik semula semua bentuk bantuan, pasukan perubatan termasuk yang diseleraskan oleh ASEAN jika keadaan keselamatan rakyat negara ini serta ASEAN terancam di sana.

Mohamad menjangkakan pemulihan atau pembangunan semula Myanmar memakan masa 20 tahun dan negara tersebut kini berhadapan dengan masalah ketiadaan air disebabkan sistem paip mereka pecah.

“Myanmar kini juga sedang memulihkan tenaga elektrik secara berfasa-fasa, tetapi itu pun amat perlahan. Ia akan mengambil masa. Sekarang Myanmar dalam proses pemulihan,” katanya.

Selain itu menurut beliau, kerajaan sementara Myanmar memerlukan banyak bantuan perubatan serta sistem untuk menapis air dan memerlukan khemah-khemah sebagai penempatan sementara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya