PUTRAJAYA: Malaysia antara 75 negara rakan dagang Amerika Syarikat yang diberi penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik yang dikenakan negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan itu memberikan kelegaan sebentar kepada negara ini.
“Malaysia terlibat dalam penangguhan, oleh itu melegakan sebentar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempertimbangkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, satu langkah yang disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor di sebalik langkah itu.
Pada masa sama, lebih 75 negara menerima penangguhan tiga bulan dari tarikh akhir yang akan menyebabkan mereka dikenakan tarif melebihi kadar asas 10 peratus, dengan sebahagian negara dijangka berdepan kadar lebih tinggi.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump menjelaskan keputusan penangguhan dibuat selepas menerima permintaan daripada negara-negara terbabit yang ingin berunding mengenai isu berkaitan perdagangan, halangan perdagangan, tarif, manipulasi mata wang dan bentuk tarif bukan monetari.
Beliau turut memuji negara-negara itu yang menurutnya tidak bertindak balas “dalam apa juga cara terhadap Amerika Syarikat.”
Pasaran saham bertindak balas secara positif terhadap keputusan itu, menyaksikan lonjakan bersejarah dengan indeks Nasdaq melonjak lebih 12 peratus manakala Dow Jones meningkat lebih 7.8 peratus selepas mengalami kejatuhan ketara sepanjang minggu lalu. – UTUSAN