BUTTERWORTH : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia ketika ini sangat baik tanpa sebarang ketegangan.
Menurut Perdana Menteri, ketegangan atau masalah itu bagaimanapun hanya timbul apabila berlakunya campur tangan tokoh-tokoh politik yang kebankrapan idea.
“Kita (rakyat Malaysia) tidak ada ketegangan. Tidak merasakan itu. Masalahnya hanya (berlaku) apabila tokoh-tokoh politik ini yang sudah bankrap idea mereka, menghasut (kaum tertentu) supaya benci antara satu sama lain.
“Kalau kita tengok hari ini, berapa ribu orang Melayu, berapa ribu orang China dan berapa ribu orang India makan satu meja? Tidak ada rasa iri hati atau permusuhan.
“Jadi, saya minta rakyat untuk lihat kepentingan kita, kekuatan kita kerana tidak banyak negara pelbagai kaum yang boleh catat rekod seperti Malaysia (dari segi perpaduan antara kaum).
“Pulau Pinang sebagai satu contoh. Mana ada negara dengan masyarakat berbagai kaum yang boleh menjaga keharmonian (seperti di Malaysia). Sebab itu kita ‘salute’ (hormat) orang Pulau Pinang, kita ‘salute’ rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, petang tadi.

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta barisan kepimpinan negeri.
Dalam pada itu, Anwar turut menyuarakan gesaan kepada rakyat negara ini agar lebih menumpukan pembangunan dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.
“Kalau ditanya, untuk apa kita berpakat dan bersatu? Kerana politik ini stabil, rakyat pelbagai kaum bersama-sama. Maka, kita tumpu kepada pembangunan. Maka, kita catat kepentingan ekonomi yang baik di Pulau Pinang.
“Kita jadikan pusat semikonduktor di Pulau Pinang, di Kulim, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Di Sarawak pula, dengan peralihan tenaga, hidrogen dan gasnya manakala di Sabah pula dengan strategi ekonomi biru mereka,” ujar beliau.-UTUSAN