Makaf kekal sasaran tiga emas Sukan SEA 2025

Makaf kekal sasaran tiga emas Sukan SEA 2025

NUR AZMI Ahmad (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Exco Makaf di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal menyasarkan tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla, Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sasaran itu sama seperti yang ditetapkan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tiga tahun lalu, walaupun tuan rumah Thailand menawarkan jumlah pingat emas terbanyak dengan 585 acara.

Menurutnya, sasaran itu disandarkan kepada kategori lelaki dan wanita untuk acara ‘kumite’ serta ‘kata’.

“Sasaran tiga pingat emas adalah realistik untuk kontinjen karate sama seperti di Kemboja tiga tahun lalu, namun tidak mustahil seramai 18 atlet yang akan kita hantar mungkin mampu meraih lebih daripada itu.

“Tidak banyak pingat yang ditawarkan dalam acara karate melainkan kata dan kumite, kita ikut kategori yang disediakan tuan rumah kalau Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027, mungkin banyak kategori akan dipertandingkan.

“Sukan SEA di Thailand juga menjadi platform untuk kita memilih hanya atlet terbaik yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Asia di Jepun tahun depan, termasuk 13 kejohanan sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Makaf di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Nur Azmi yang baharu memenangi jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, pemilihan seramai 18 atlet ke Sukan SEA 2025 akan dimuktamadkan berdasarkan 13 kejohanan dalam dan luar negara yang akan diharungi.

“Kita akan nilai prestasi atlet ini termasuk di Kejohanan Siri Dunia yang akan diadakan di Kuala Lumpur Oktober nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya