SEPANG: Majlis Rumah Terbuka ‘Kasih D’Aidilfitri’ Parlimen Sepang yang dijadualkan pada 19 April ini dibatalkan demi menghormati penderitaan dialami mangsa letupan gas Putra Heights.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, majlis itu dibatalkan sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa insiden berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sebagai langkah awal, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan menyediakan sejumlah 232 buah tilam bersaiz ‘queen’ untuk diagihkan kepada 116 keluarga mangsa terbabit.
“Saya difahamkan, mangsa letupan berkenaan dijadualkan berpindah masuk ke Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, di sini mulai minggu ini.
“Saya bersama Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dengan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan mengalu-alukan 116 keluarga mangsa ini, dan siap sedia membantu.
“Ia (proses pemindahan dan penempatan sementara mangsa) akan diselaraskan Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, saudara Mohd Jani Saring,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan untuk menempatkan semula mangsa insiden Putra Heights ke rumah sementara mulai minggu depan dan seterusnya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, penduduk yang terjejas akan ditempatkan di Kota Warisan, Sepang dan Airbnb di kawasan lain di Lembah Klang untuk menangani kesesakan di pusat pemindahan. – UTUSAN