KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntuk dana zakat berjumlah RM57 juta tahun ini dalam usaha institusi itu untuk melahirkan usahawan dalam kalangan asnaf.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, peruntukkan dana itu bukan sahaja tertumpu kepada golongan asnaf malah para teknologis, pekerja-pekerja mahir dan separa mahir dalam pelbagai bidang kemahiran antaranya automotif, minyak dan gas serta kimpalan.
Jelasnya, program kerohanian turut didedahkan dalam memperkukuh jati diri dalam kalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.
“Saya juga mengharapkan agar lebih ramai lagi para pembayar zakat lahir dari asnaf yang telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan mempunyai kesedaran membayar zakat sebagai satu keutamaan dalam menjalankan perniagaan pada masa akan datang.
“MAIWP percaya bahawa membina usahawan bukan sekadar memberi bantuan tetapi juga membimbing, memantau dan menghubungkan usahawan dengan peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Usahawan MAIWP, di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Nizam, setakat tahun lalu, Bahagian Pembangunan Asnaf telah melaksanakan 20 program pembangunan usahawan dengan pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi keusahawanan dan perbankan dengan penglibatan seramai 1,320 orang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM11.3 juta.
“Selain itu, MAIWP telah menyalurkan insentif modal perniagaan kepada 465 orang usahawan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.03 juta.
“Hasil daripada program pembangunan usahawan, sukacita saya mengumumkan seramai 40 orang usahawan MAIWP telah membayar zakat melebihi RM500 bagi tahun lalu.
“Ia melibatkan jumlah keseluruhan kutipan bayaran zakat sebanyak RM66,051 dan pembayar zakat tertinggi usahawan MAIWP adalah sebanyak RM11,241,” katanya. – UTUSAN