PUTRAJAYA: Memahami kesulitan dihadapi kanak-kanak dalam proses pemulihan pergerakan, inovator tempatan, Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi bersama pasukannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, mencipta alat inovasi rehabilitasi terbaharu, Multiple Aids for Paediatric Rehabilitation atau Pelbagai Alat Bantu untuk Pemulihan Pediatrik (MAIDs 5).
Katanya, alat berkenaan direka memudahkan rawatan perkembangan motor golongan orang kurang upaya (OKU), terutamanya kanak-kanak yang mengalami cabaran besar dalam proses pemulihan.
“MAIDs 5 merupakan alat serba boleh yang menggabungkan lima fungsi utama dalam satu peranti, daripada posisi duduk hingga berjalan dengan ciri-ciri boleh laras yang sesuai dengan keperluan setiap pesakit.
“Alat ini bukan sahaja menggantikan peralatan rehabilitasi tradisional seperti stroller (kereta sorong), standing frame (alat membantu kanak-kanak berdiri stabil dan selamat), corner chair (kerusi sudut) dan alat bantu jalan, tetapi juga lebih mudah dibawa dan dikendalikan, menjadikannya pilihan yang praktikal dan efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Alat inovasi itu menawarkan kos lebih rendah serta merupakan buatan tempatan yang mampu memberikan impak besar kepada golongan OKU.
Katanya, pesakit hanya perlu menggunakan satu alat untuk mendapatkan pelbagai fungsi yang memudahkan rawatan dan proses pemulihan, selain memberi stimulasi berterusan di rumah, yang sekaligus mempercepatkan perkembangan pesakit kanak-kanak tersebut.
“Sejak mula dibangunkan pada 2019, MAIDs 5 menerima sokongan dana pembangunan inovasi bernilai RM62,000 pada tahun 2022 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melalui Program Malaysia Inovasi Sosial Akar Umbi (MyIS Akar Umbi/MaGRIs).
“Inovasi ini kini menjadi pilihan mampu milik yang dapat membantu masyarakat OKU di seluruh negara untuk memulihkan perkembangan motor dengan lebih cepat dan kembali berdikari,” katanya.
Antara penyakit yang dapat dibantu dengan penggunaan MAIDs 5 termasuklah sindrom down, hidrosefalus, palsi serebrum, kelewatan perkembangan dan keadaan sindromik.
Dr. Muhammad Hafiz berkata, idea mencipta produk berkenaan, timbul selepas beliau menyertai Unit Perubatan Pemulihan HUSM pada 2016 dan terlibat dalam bidang inovasi rehabilitasi.
“Harapan saya sejak menyertai bidang ini adalah untuk membantu penghidap strok, cedera otak, cedera tulang belakang dan cerebral palsy (palsi serebrum) agar mereka dapat pulih dengan lebih cepat dan kembali ke dalam komuniti dengan lebih berdaya saing.
“MAIDs 5 diharapkan dapat memberikan impak positif kepada kehidupan golongan OKU, memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan berdikari,” katanya.