Mahu perlahankan kerjaya seni, Awie terbuka andai Wings ada vokalis baharu - Utusan Malaysia

Mahu perlahankan kerjaya seni, Awie terbuka andai Wings ada vokalis baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, vokalis kumpulan rock lagenda, Wings, Datuk Awie meluahkan hasratnya untuk memperlahankan kerjaya seni.

Setelah melalui pelbagai sepak terajang sepanjang 40 tahun bersama kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57 bagaimanapun mengakui berat hati untuk membuat keputusan tersebut.

Menurut Awie, dia tidak akan meninggalkan industri hiburan sepenuhnya sebaliknya, mahu lebih aktif dalam menguruskan perihal belakang tabir kumpulan Wings dan karyawan lain.

“Berat sebenarnya mahu kurangkan aktiviti seperti konsert dan persembahan. Tetapi saya akan tetap berkarya, cuma kali ini untuk orang lain, bukan diri sendiri.

“Saya akan lebih banyak bekerja di belakang tabir. Saya tidak meninggalkan industri mahupun Wings. Nyanyian tetap menjadi sumber rezeki saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Sejati itu memaklumkan keputusan tersebut dilakukan kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga selepas puas mencipta nama dalam dunia seni.

“Banyak perkara yang perlu saya uruskan, hingga masa dengan keluarga sangat terhad. Bayangkan, untuk konsert Triad baru-baru ini, latihan sahaja memakan masa sembilan jam sehari selama dua bulan.

“Sampai bila? Usia saya pun semakin meningkat, takkan saya mahu terus bekerja seperti ini sampai umur 60 atau 70 tahun,” jelasnya.

Vokalis Baharu Perlu Serasi Dengan Wings

Ditubuhkan sejak tahun 1985, Awie merupakan tunjang utama kumpulan Wings selain dianggotai oleh ahli lain seperti Syam, Edrie, Eddie dan Black.

Sedar peranan vokalis amat penting dalam kumpulan itu, Awie juga reda sekiranya posisinya digantikan dengan pelapis baharu selepas tidak lagi bersama Wings.

Kata Awie, sebelum perkara itu terjadi, dia perlu memastikan penggantinya mempunyai kualiti dan keserasian yang kukuh dengan anggota Wings yang lain.

“Saya akan menilai dengan lebih mendalam kerana Wings sudah menjadi satu jenama selama lebih empat dekad.

“Saya perlu memastikan penyanyi baharu itu benar-benar serasi dan mampu memberi keserasian yang kukuh dengan ahli lain.

“Saya reda dan tiada masalah jika ada pengganti yang lebih baik. Jika dia mampu meneruskan legasi Wings, silakan,” katanya.

Tambah Awie, dia enggan bersikap mementingkan diri sendiri dan mahu melihat rakan seperjuangannya dalam Wings terus terbang tinggi dan mengharumkan nama kumpulan itu.

“Saya tidak tamak, yang paling penting bagi saya adalah melihat rakan-rakan seperjuangan bahagia. Kalau saya hanya fikirkan diri sendiri, sudah lama saya mengutamakan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Awie memaklumkan dia bersama anggota Wings mahu mengadakan konsert tribute solo, persembahan amal di beberapa penjara secara percuma, serta Festival Wings sempena ulang tahun ke-40 kumpulan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya