KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Julai ini untuk mendengar saman pemula yang mencabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 yang difailkan oleh seorang peguam, awal bulan ini.
Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini dengan dihadiri peguam, Shahrulazwad Ismail yang mewakili Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim selaku pemohon.
Kerajaan dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebagai responden pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi serta Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar.
Dalam prosiding ringkasnya, Hakim Amarjeet mengarahkan semua pihak yang terlibat dalam prosiding itu untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewatnya pada 8 Julai.
“Isu yang dibangkitkan dalam saman hanya semata-mata berkenaan persoalan undang-undang.
“Adakah akta ini bercanggah dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 4, serta fungsi Perdana Menteri di bawah Perkara 122B untuk menasihati pelantikan hakim,” katanya.
Hakim Amarjeet turut mengarahkan semua pihak untuk memfailkan afidavit selewat-lewatnya pada 29 April.
Selain itu, mahkamah membenarkan Majlis Peguam untuk menjadi pencelah selain membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai peguam pemerhati dalam kes itu.
Pada 8 April lalu, Syed Amir yang memfailkan saman yang memohon suatu pengisytiharan bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (SPK 2009) adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Turut dipohon suatu perintah mandamus yang memaksa Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia mematuhi proses pelantikan kehakiman yang ditetapkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan bebas daripada sebarang campur tangan Suruhanjaya itu.
Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Selain itu, beliau memohon suatu penangguhan sementara terhadap sebarang pelantikan kehakiman yang dibuat menurut SPK 2009 sementara menunggu pelupusan permohonan itu serta perintah-perintah selanjutnya yang dianggap adil, wajar demi kepentingan keadilan. – UTUSAN