Mahkamah Persekutuan memihak kepada SC

Mahkamah Persekutuan memihak kepada SC, tolak rayuan Sreesanthan

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.-UTASAN/FAIZ ALIF ZUBIR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2022 yang telah menolak rayuan oleh Datuk Sreesanthan Eliathamby mengenai kes dagangan orang dalam melibatkan saham Worldwide Holdings Berhad.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusannya, sebulat suara mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya berkata, mahkamah tertinggi negara itu memutuskan Seksyen 89E (1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (kini Seksyen 188(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007) bukanlah peruntukan liabiliti yang ketat.

“Sebaliknya tiga panel Mahkamah Persekutuan tersebut menjelaskan bahawa seksyen berkenaan mengandungi unsur mental iaitu tahu atau patut mengetahui secara munasabah bahawa maklumat dagangan saham itu tidak tersedia secara umum,”katanya.

Dalam menentukan materialiti maklumat milikan orang dalam, mahkamah berkata, ia tidak terhad kepada fakta dan keadaan pada masa pemerolehan, tetapi juga boleh mengambil kira fakta serta keadaan selepas masa pemerolehan yang disangkal.

SC berkata, kuasa Peguam Negara untuk memulakan prosiding bagi kesalahan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, tidak meliputi tindakan sivil yang dibawakan sendiri oleh suruhanjaya tersebut di bawah Seksyen 90A(5) untuk dagangan dalam.

Pada 2016, SC telah memfailkan tindakan sivil terhadap Sreesanthan atas pemerolehan sebanyak 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11 Julai 2006.

“Pengambilalihan saham tersebut berlaku ketika beliau memiliki maklumat bukan awam yang material berkaitan dengan cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Pada masa itu, Sreesanthan ialah rakan kongsi kanan dalam firma guaman dengan beliau telah ditugaskan oleh CIMB Investment Bank untuk bertindak sebagai penasihat undang-undangnya bagi pelaksanaan korporat Worldwide tersebut,” ujarnya.

Berikutan perbicaraan penuh, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SC dengan Sreesanthan diperintahkan membayar kepada SC sejumlah RM1,989,402 iaitu jumlah bersamaan tiga kali ganda keuntungan diperoleh hasil dagangan orang dalam dan penalti sivil sebanyak RM1,000,000.

Selain itu, Sreesanthan telah dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai awam untuk tempoh sepuluh tahun mulai 18 November 2020. dan sabitan keputusan Mahkamah Tinggi telah disahkan sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan.

Susulan keputusan semalam, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Sreesanthan membayar kos berjumlah RM100,000 kepada SC kerana suruhanjaya itu sebelum ini telah diberikan kos berjumlah RM150,000 di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Secara keseluruhan, Sreesanthan telah diarah membayar kepada SC sejumlah RM3,239,402 dan ia melihat kes dagangan orang dalam sebagai satu pelanggaran serius yang menjejaskan integriti pasaran modal serta menghakis keyakinan pelabur,” katanya.

Penghakiman penting oleh mahkamah tertinggi itu jelas suruhanjaya berkenaan, memberikan mesej yang jelas kepada orang ramai bahawa pelanggaran tersebut tidak akan diterima oleh pihak mahkamah sendiri.

Tambahnya, penguatkuasaan secara berterusan oleh SC menunjukkan komitmennya untuk menangani salah laku dan penyalahgunaan yang menjejaskan integriti pasaran modal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya