Maahad tahfiz bantu baik pulih kawasan terjejas

Maahad tahfiz bantu baik pulih kawasan terjejas

MOHD. ASRI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari mengambil inisiatif membantu penduduk Kampung Kuala Su­ngai Baru dengan membaik pulih premis mereka menggunakan peruntukan sendiri selepas kawasan itu terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights di sini.

Pengasasnya, Mohd. Asri Yunus, 58, berkata, pihaknya tidak menunggu bantuan luar, sebaliknya segera memulakan kerja membaiki bumbung zink yang rosak teruk akibat bahang api serta membersihkan kawasan sekitar dengan kos lebih RM5,000.

“Bumbung zink cair terkena bahang kebakaran. Kami terus mulakan kerja baik pulih kelmarin agar pelajar dapat kembali semalam. Kerja akhir disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, pusat latihan kemahiran milik maahad turut rosak dengan bumbung berlubang dan paip air mencair.

Menceritakan detik kejadian, beliau berkata, ketika insiden berlaku dia sedang bercuti dan maahad berada dalam keadaan kosong tanpa penghuni.

Mohd. Asri yang dalam perjalanan dari Perak ke Pahang, segera berpatah balik selepas dihubungi penduduk, namun hanya dibenarkan masuk pada hari ketiga.

“Ketika masuk ke bangunan asrama, memang terhidu bau gas yang kuat,” jelasnya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, kerja baik pulih rumah penduduk giat dijalankan.

Difahamkan hanya penduduk yang mempunyai kelulusan dan mematuhi prosedur dibenarkan memasuki kawasan, diiringi van pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan.

Turut kelihatan anggota Pa­sukan Gerakan Am (PGA).

Kerja pembaikan termasuk bumbung, pendawaian elektrik dan tangki air sedang dilaksanakan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran saluran paip gas di kawasan Putra Heights, Subang Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini memaklumkan sebanyak 439 rumah telah dinilai dengan 270 daripadanya disahkan selamat, manakala 219 lagi terjejas termasuk 87 rumah mengalami kerosakan serius.

Selain itu, sebanyak 675 laporan polis telah diterima dan ke­terangan 186 saksi telah dirakam setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya