Keterujaan jelas terpancar pada wajah para tenaga pengajar dan pelajar di Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai, di Lipis apabila diberi peluang menjadi perintis dalam usaha melahirkan generasi huffaz muda berwibawa.
Maahad yang baru ditubuhkan itu kini menjadi simbol komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan al-Quran melalui penyediaan kemudahan moden dan sistem pengajian berteraskan nilai as-Sunnah serta al-Quran.
Mudir Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Muhammad Firdaus Kamaruzaman al-Hafiz, berkata beliau amat bersyukur atas amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepadanya sejak pengambilan pelajar pertama maahad itu.
“Saya berikrar dengan sokongan seluruh tenaga pengajar akan berkhidmat sehabis baik bagi memenuhi harapan kerajaan negeri, ibu bapa dan masyarakat.
Kami berpegang teguh pada visi menjadi institusi pengajian tahfiz yang cemerlang menjelang tahun 2030,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, misi Maahad Tahfiz Ar-Rushd adalah untuk melahirkan huffaz yang beriman dan bertakwa melalui sistem pengurusan pendidikan yang berkualiti, berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Kompleks maahad itu merangkumi pejabat pengurusan, blok akademik, dua blok asrama lelaki dan perempuan, surau, dewan makan, dewan serbaguna serta kuarters kakitangan – sekali gus meletakkannya setanding dengan institusi tahfiz terkemuka di negara ini.
Menurut Muhammad Firdaus, setakat ini seramai empat pelajar telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sepenuhnya, manakala ramai lagi menunjukkan potensi luar biasa hasil pendekatan pengajaran yang mesra pelajar.
Pelajar berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ialah Abdul Rasyid Arshad al- Hafiz, 16, Nur Adam Haris Anuar al-Hafiz, 16, Ilham Basyir Ahmad Basri al- Hafiz,16, dan Hazim Shah Azhari Shaharom al-Hafiz,16.
Tambah beliau, Maahad Tahfiz Ar- Rushd turut mengikuti pembelajaran sekolah biasa dengan pelbagai aktiviti kokurikulum seperti memanah tradisional, silat olahraga dan sebagainya.
Seorang guru, Lina Syahidah Haidzir, 29, berkata pendekatan ‘ibu dan anak’ yang diamalkan dalam sistem pengajaran memberi kesan positif terhadap motivasi dan disiplin pelajar.
“Mereka semakin tekun mendalami ilmu al-Quran dan menjadikan penghafalan sebagai satu cita-cita yang membanggakan ibu bapa serta masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pelajar Abdul Rasyid Arshad al-Hafiz, 16, yang berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh 30 bulan bermula Mei 2022 menyifatkan peluang menuntut di maahad tersebut sebagai anugerah terbesar dalam hidupnya.
“Saya amat bersyukur kerana dapat melantunkan bacaan al-Quran di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena majlis perasmian maahad ini.
Ia menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya anak kedua daripada empat beradik.
Tambahnya, beliau berazam menjadi pembimbing kepada rakan-rakan lain agar lebih ramai dapat bergelar hafiz dalam tempoh singkat dengan sokongan berterusan guru dan institusi.
Abdul Rasyid turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas inisiatif menubuhkan maahad tersebut yang membuka laluan pendidikan Islam berteraskan hafazan kepada generasi muda negeri itu.
Jalinan kerjasama strategik Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan Mohamed Zayed University for Humanities (MBZUH), Emiriah Arab Bersatu (UAE) mampu memperkasa pendidikan Islam di Pahang.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah bahawa langkah ini amat signifikan dalam memperkasakan pendidikan Islam agar selari dengan keperluan masa kini.
Titah baginda, Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kurikulum tahfiz di negeri ini, malah membuka peluang luas bagi pertukaran ilmu, latihan tenaga pengajar, serta penyelidikan Islam yang lebih menyeluruh.
“Kerjasama ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan Islam di Pahang, malah memastikan institusi tahfiz dan madrasah terus berkembang dengan pendekatan moden, tanpa mengabaikan asas dan prinsip Islam,” titah Baginda ketika merasmikan Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai, Lipis baru- baru ini.
Menurut Baginda, pendidikan Islam perlu berkembang seiring dengan kemajuan dunia bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sekadar menghafal al-Quran, tetapi juga memiliki ilmu moden dan daya kepimpinan yang tinggi.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas inisiatif menubuhkan Maahad Tahfiz Ar-Rushd, yang mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan Islam di Pahang.
Pada majlis itu, Baginda sekali lagi mengingatkan pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok agar terus komited dalam melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh MUIP demi memastikan institusi ini terus relevan dan memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat Islam di negeri ini. – UTUSAN