PETALING JAYA: Cadangan menambah lorong motosikal kurang praktikal kerana tidak selari dengan tujuan asal pembinaan lebuh raya bertingkat.
Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, tujuan pembinaan lebuh raya bertingkat adalah untuk menyediakan kemudahan laluan selesa kepada kenderaan empat roda dan pada masa sama, kurang menepati ciri piawaian keselamatan untuk penunggang motosikal.
“Tujuan dan matlamat utama pembinaan lebuh raya bertingkat adalah untuk mewujudkan aliran trafik yang bebas dan mengurangkan kesesakan lalu lintas sebagai alternatif serta mengelakkan kemalangan di bandar yang sibuk, selain menyediakan beberapa perhubungan serantau antara bandar-bandar berdekatan.
“Cadangan memperluaskan laluan (untuk laluan motosikal) akan melibatkan kos yang agak tinggi. Selain itu, aspek penambahan pemasangan kamera mungkin dapat membantu pemantauan penggunaan lebuh raya bertingkat, namun ia bukanlah faktor penyumbang kepada pengurangan kes kemalangan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan perlu melarang penunggang motosikal menggunakan lebuh raya bertingkat ekoran reka bentuk lebuh raya itu yang tidak sesuai untuk motosikal, sekali gus mengancam keselamatan dan meningkatkan kemalangan.
Pakar keselamatan jalan raya berkata, lebuh raya bertingkat sering kali mempunyai permukaan jalan yang lebih keras dan tiada lorong khas untuk motosikal, menjadikannya kurang sesuai untuk keselamatan para penunggang.
Tambah Jamil Manan, pembinaan lebuh raya bertingkat juga tidak sesuai untuk penunggang motosikal dengan melihat kepada struktur reka bentuk.
“Jika berlaku sebarang insiden pelanggaran, kesannya adalah lebih memudaratkan kepada penunggang motosikal dan pembonceng motosikal itu sendiri. – UTUSAN