SEPANG: Sebanyak 15 buah kenderaan rosak apabila dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan akibat masalah brek di susur turun dari Tol Serenia menghala ke Cyberjaya petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, sebuah lori pengangkut dipandu seorang lelaki dari arah Nilai menghala ke Cyberjaya tiba-tiba mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan merempuh kenderaan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, lori berkenaan merempuh 15 buah kenderaan yang berada di kiri dan kanan jalan untuk menunggu giliran keluar dari susur menghala ke Cyberjaya.
Beliau berkata, semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian kemalangan ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim di talian 017-9076260,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar berhati-hati demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
Insiden petang semalam itu menyebabkan kesesakan teruk berhampiran susur keluar Tol Serenia arah Cyberjaya. – UTUSAN