MELAKA: Longgokan sampah kurang 100 meter dari Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Pernu di sini bukan hanya mencacatkan pandangan malah mencetuskan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan penduduk setempat.
Meskipun pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menyediakan lokasi pembuangan sampah yang sah namun kawasan terbabit masih menjadi ‘tapak haram’ buangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab.
Ahli Majlis MBMB, Zamani Isa berkata, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua bulan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan sampah dibuang oleh penduduk taman perumahan berhampiran, peniaga tempatan, serta individu dari luar kawasan Telok Emas.
“Yang buang ini bukannya tidak tahu,tetapi sengaja pilih jalan mudah. Kita sudah letakkan papan tanda amaran beberapa kali, MBMB pasang, SWCorp pun pasang, tetapi semua dicabut oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Tidak seronok apabila budak-budak sekolah lalu tengok sampah berlonggok, bau pun busuk. Kawasan ini pun selalu diancam masalah denggi. Kami minta masyarakat tolong betulkan sikap,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah beliau, penguatkuasaan sudah dijalankan dan beberapa pelaku telah dikenakan tindakan, namun masalah berkenaan terus berulang.
Oleh itu, Zamani menggesa komuniti setempat agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau serta melaporkan kegiatan pembuangan sampah haram agar tindakan lanjut dapat diambil segera.
“Lokasi pembuangan sampah yang sah tidak jauh dari kawasan terjejas dan berharap penduduk menggunakan kemudahan yang disediakan. Tetapi tidak patut laluan ke sekolah jadi begini, ini bukan soal penguatkuasaan sahaja, tetapi juga soal sikap,” katanya lagi. – UTUSAN