KUALA LUMPUR: Lima lelaki warga Pakistan yang digelar ‘wira’ selepas membantu menyelamatkan lebih 30 mangsa dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu menerima penghargaan khas daripada Kedutaan Besar Pakistan di Malaysia.
Khaista Nawab, 50; Bakht Munir, 37; Amir Nawab, 47; Rafiq Ullah, 25; dan Jaafar Ali, 40, masing-masing menerima sijil serta anugerah khas yang disampaikan semalam sebagai pengiktirafan atas tindakan berani dan luar biasa mereka dalam insiden tersebut.
Kesemua mereka berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan telah menetap serta bekerja di sekitar ibu negara sejak tujuh hingga 20 tahun lalu.
Menceritakan semula detik cemas itu, Khaista yang bekerja sebagai buruh berkata, dia pada awalnya mahu menyelamatkan diri bersama pasport, namun niat itu berubah apabila melihat penduduk dalam keadaan panik dan berlari menyelamatkan diri.
“Saya fikir, kenapa perlu lari? Kiamat nanti akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri jadi taruhan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Alfaro, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Tambahnya, mereka mengambil masa lebih sejam untuk membantu penduduk termasuk kanak-kanak yang terpaksa menyeberangi Sungai Klang selebar 40 meter menuju ke kawasan selamat di Kampung Seri Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran.
“Kami di sini mencari rezeki. Apabila lihat kejadian itu, saya tak fikir panjang. Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia,” ujarnya.
Tindakan berani mereka turut mendapat perhatian rakyat tempatan dan liputan media antarabangsa serta Pakistan.
Sementara itu, pengarah butik pakaian terkenal, Farooq Ahmad tampil menghulurkan sumbangan berupa tuala, sepasang pakaian dan wang tunai kepada kelima-lima mereka.
Beliau turut memaklumkan, Menteri Persekutuan Pakistan, Amir Muqam menghubunginya bagi menyampaikan rasa bangga serta penghargaan kerajaan Pakistan terhadap tindakan lima lelaki tersebut.
Jelasnya, syarikatnya juga sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka sekiranya berminat. – UTUSAN