PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi pentas cubaan kali ketiga buat Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), BAWANI KS, 40, untuk bergelar wakil rakyat.
Anak jati Taman Ria Ayer Kuning ini melihat penyertaannya dalam PRK kali ini sebagai ‘kuasa ketiga’ atau alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Peguam dan aktivis masyarakat itu sudi berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM berkenaan visinya dalam meningkatkan fasiliti awam di Ayer Kuning yang dakwanya tidak berubah wajah hampir 40 tahun lalu.
UTUSAN: Bagaimana dengan sambutan pengundi berdasarkan gerak kerja setakat ini di Ayer Kuning?
BAWANI KS: Sambutan yang diterima sangat positif, dengan kira-kira 80 peratus pengundi yang ditemui berjanji akan memberi sokongan. Namun, saya tidak pasti jika sokongan ini akan diterjemahkan dalam bentuk undian sebenar nanti.
Mengapa masih bertanding walaupun pada dua pilihan raya sebelum ini tewas dan hilang deposit?
PSM konsisten bertanding di kawasan-kawasan aktif, termasuk Ayer Kuning. Kali ini, sebagai kuasa ketiga, kami mendapat sokongan penuh daripada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk berkempen lebih agresif. Kami mahu mendidik rakyat agar memilih berdasarkan khidmat, bukan logo parti. PSM bukan parti yang menggunakan pilihan raya untuk memperkayakan diri, tetapi bertujuan berbakti kepada rakyat dengan kehidupan sederhana dan penuh integriti.
Anda mengatakan Ayer Kuning agak ketinggalan sepanjang hampir 40 tahun BN memerintah. Benarkah begitu?
Saya anak jati Ayer Kuning, dilahirkan dan dibesarkan di sini hampir 40 tahun. Ayah seorang pemandu traktor, ibu penjual bunga. Sejak tinggal di perumahan awam, tiada pembangunan signifikan, masalah infrastruktur seperti lampu jalan, peparitan dan tiada papan tanda masih membelenggu rakyat. Sangat menyedihkan.
Apa manifesto anda kepada rakyat Ayer Kuning?
Keperluan utama di Ayer Kuning adalah kemudahan asas yang mencukupi, seperti penyelesaian gangguan bekalan elektrik, bas awam yang lebih kerap, liputan komunikasi, serta fasiliti pejabat pos, bank dan sukan. Selain itu, peluang kerja dengan gaji setimpal perlu diwujudkan untuk mengelakkan penghijrahan golongan muda. Rumah mampu milik di bawah RM100,000 untuk pasangan muda juga penting.
Apa masalah utama yang dihadapi oleh pengundi Ayer Kuning yang perlu diatasi segera?
Masalah utama adalah pemilikan tanah yang belum selesai, melibatkan semua kaum termasuk masyarakat Orang Asli, selain isu infrastruktur awam. – UTUSAN