PETALING JAYA: Lima laporan polis telah dibuat berhubung insiden Jalur Gemilang dipaparkan dalam keadaan tidak lengkap semasa pameran perdagangan produk bayi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan tersebut dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO Parlimen Lembah Pantai susulan kejadian yang disifatkan sebagai serius serta tidak wajar dipandang ringan.
Katanya, kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan secara tidak sempurna merupakan satu perbuatan yang tidak boleh dikompromi dan wajar dikenakan tindakan tegas sebagai peringatan agar insiden sama tidak berulang.
“Semalam, kita digegarkan dengan satu insiden yang dipercayai berlaku di Mid Valley dalam kawasan Lembah Pantai melibatkan paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
“Saya bangkitkan isu ini kerana ia berlaku di kawasan saya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Mid Valley yang menjelaskan insiden berkenaan berlaku di ruang pameran yang dikendalikan oleh sebuah syarikat.
Katanya, insiden tersebut merupakan kejadian ketiga dalam minggu ini membabitkan paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dengan kejadian terbaharu berlaku di sebuah pameran perdagangan produk bayi di sebuah pasar raya.
Susulan insiden itu, beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama membuat laporan polis pada tengah malam tadi.
“Laporan itu antara lain meminta polis untuk menyiasat insiden berkenaan di bawah Akta 414, Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, serta Akta 193, Akta Kawalan Paparan Lambang Kebangsaan 1949.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan dan jika terbukti berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.
Tegasnya, kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan adalah perkara yang berat dan kejadian tersebut seharusnya menjadi pengajaran.
Fahmi turut menyeru semua pihak yang kurang jelas mengenai tatacara penggunaan Jalur Gemilang untuk merujuk kepada Jabatan Penerangan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur bagi membantu pelaksanaan aktiviti di kawasan berkenaan.-UTUSAN