SEREMBAN: Lima individu termasuk dua wanita yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan pada 10 April lalu, membuat pengakuan tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam.
Kelima-lima tertuduh yang mempunyai pertalian keluarga iaitu D. Sasveena, 31; Farhin Muhammad Ariffin,23; P. Koshenn Kumar, 21; T. Boharaj, 32 dan P. Siveeshinaa, 23, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibaca dihadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh telah bersama-sama mempunyai niat atas penculikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikan remaja tersebut bagi tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah salun pendandanan rambut, Uptown Avenue Seremban 2, di sini ebih kurang pukul 5.45 petang pada 10 April lalu.
Oleh demikian, kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dengan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang bentuk wang jaminan ke atas kesemua tertuduh kerana ia merupakan kesalahan jenayah serius dan melibatkan keselamatan mangsa selain memungkinkan akan mengundang ketakutan mangsa dan juga orang awam.
“Sekiranya wang jaminan diberikan dikhuatiri tertuduh boleh melarikan diri ditambah pula ada antara mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.
Bagaimanapun peguam bela kesemua tertuduh, T. Harpal Singh meminta mahkamah membenarkan pihaknya mengemukakan hujahan bertulis bagi permohonan rayuan jumlah wang jaminan bagi anak guamnya.
” Saya mohon mahkamah tetapkan tarikh baru untuk saya menyiapkan hujahan bertulis beserta bukti supaya mahkamah dapat menilai secara keseluruhannya samada membenarkan jaminan atau tidak,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi permohonan hujahan bertulis bagi rayuan wang jaminan tertuduh.
Kesemua tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan tersebut. – UTUSAN