BALING: Lima individu dilaporkan cedera setelah dipercayai diserang dua ekor anjing jenis Rottweiler dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi ini di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, berdasarkan laporan oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) Pekan Lama, anjing terbabit disyaki terlepas dari rumah pemiliknya.
“Sehingga kini kami belum menerima laporan daripada mangsa-mangsa terbabit disebabkan mereka sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
“Kami dimaklumkan, dua ekor anjing tersebut dipercayai terlepas daripada pemiliknya dan berkeliaran sekitar pukul 5.45 pagi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggota polis dari unit rondaan cegah jenayah (RCJ) Kuala Ketil segera ke tempat kejadian untuk mententeramkan keadaan dan bertemu dengan pemilik anjing berkenaan.
Katanya, anjing terbabit sudah dikurung oleh pemiliknya dan individu itu diarah untuk menyerahkan anjing tersebut kepada pihak Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan kuarantin.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Yahaya berkata, anjing itu berlesen untuk ditempatkan di premis perniagaan pemiliknya dan pihaknya akan menyiasat mengapa haiwan itu dipelihara di rumah.
“Kami dimaklumkan bahawa anjing-anjing itu telah terlepas daripada kurungan sebelum menyerang mangsa-mangsa pagi tadi dan difahamkan anjing-anjing itu pernah menyerang seorang lelaki dua tahun lalu yang menyebabkan dia cedera.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyiasat cara pengendalian anjing-anjing itu dan mengambil tindakan terhadap pemiliknya, buat masa ini biarkan jabatan menyiasat terlebih dahulu,” katanya.
Katanya lagi, pihak Majlis Daerah Baling tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap anjing yang berlesen kerana bidang kuasanya hanya meliputi anjing terbiar.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MDB dan polis akan menjalankan siasatan dan akan memanggil pemiliknya untuk memutuskan sama ada anjing-anjing itu perlu dipindahkan ke lokasi lain, diletakkan di bawah penjagaan pusat perlindungan haiwan atau dihapuskan mengikut garis panduan dan akta yang betul,” katanya. – UTUSAN