‘Lihat kebolehan memimpin, bukan lihat usia’

‘Lihat kebolehan memimpin, bukan lihat usia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerantut, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, 63, menangkis dakwaan yang menganggapnya sudah tua dan perlu memberikan laluan kepada golongan muda pada pemilihan parti di Pahang, esok.

Hassan Basri berkata, bukan soal usia tetapi kemampuan dan kebolehan memimpin perlu dinilai khususnya mewujudkan kesepakatan ahli veteran, wanita serta golongan muda.


HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN

“Saya juga ada terdengar desas-desus kalangan calon lain menggunakan isu ini (usia tua) menerusi kempen di peringkat ranting yang mahukan golongan muda diangkat sebagai Ketua PKR Cabang Jerantut pada pemilihan ini berbanding calon ‘warga emas’ kerana tidak mampu memimpin sekiranya menang nanti.

“Biarkan calon berkenaan dan pihak tertentu membuat pelbagai andaian, tetapi saya tetap mengharungi cabaran politik dalam PKR dan meneruskan usaha pembangunan dengan bantuan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hassan Basri, kekalahannya di Parlimen Jerantut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kemampuan untuk bertanding dalam pemilihan parti.

“Saya yakin lebih 3,000 ahli PKR di Jerantut sudah tahu kemampuan saya serta akan memihak kepada saya. Kerana mereka yakin menerusi pencapaian sebelum ini, iaitu usaha yang dibuat menerusi pembangunan pendidikan, ekonomi serta kebajikan rakyat,” katanya.

Hassan Basri Awang berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Kuwait (1987), Sarjana (Kesusasteraan) Universiti St. Andrews, Scotland (1992) dan mendapat Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, Scotland (2000).

Beliau pernah menjadi pensyarah dan naib canselor di beberapa buah universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya