KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) sedang merangka satu pelan asas insurans bagi memastikan golongan pesara dan berpendapatan rendah terus mendapat akses kepada perlindungan perubatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark O’Dell berkata, perkara itu merupakan antara keutamaan utama LIAM, lebih-lebih lagi ketika industri insurans berdepan tekanan kewangan yang semakin meruncing berikutan peningkatan kos rawatan pasca pandemik.
Menurut beliau, pelan berkenaan sedang dibangunkan secara bersama dengan beberapa pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).
“Pelan ini bakal menjadi alternatif kepada pelanggan yang memerlukan perlindungan perubatan namun berdepan kekangan kewangan susulan inflasi perubatan yang kian membebankan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Raya LIAM di sini, hari ini.
Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penangguhan pelarasan premium, pengagihan kadar pelarasan selain pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif merupakan antara beberapa langkah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).
Langkah itu dikenal pasti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum pandemik COVID-19, kadar kemasukan hospital dalam kalangan pemegang polisi adalah sekitar seorang bagi setiap 100 orang setahun.
Namun, beliau berkata, angka itu melonjak kepada 25 orang bagi setiap 100 pemegang polisi pada tahun lalu, sekali gus memberi tekanan besar terhadap pengendali insurans dan takaful.\
O’Dell berkata, industri takaful sahaja dijangka mencatat kerugian sekitar RM800 juta, manakala jumlah kerugian keseluruhan bagi sektor insurans dianggarkan mencecah RM4.5 bilion sekiranya kos rawatan terus meningkat dan tidak menunjukkan sebarang penurunan.
“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan kadar tuntutan secara mendadak dan menjejaskan daya tahan kewangan syarikat insurans dalam jangka panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain pelan asas, industri turut meneliti keperluan untuk menstruktur semula mekanisme caj rawatan hospital agar lebih telus dan adil kepada pengguna.
“Pada masa ini, hospital mengenakan caj berdasarkan perkhidmatan yang diberikan (fee-for-service) dan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan antara penyedia perkhidmatan dan pihak pembayar (insurans).
“Kita sedang beralih kepada model harga berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG), iaitu satu kadar tetap yang diselaras mengikut diagnosis dan tahap keseriusan penyakit,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan itu dapat mendorong pihak hospital mengurus kos rawatan dengan lebih cekap dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Tambahnya, usaha memperjuangkan ketelusan harga dalam sektor kesihatan juga menjadi antara tumpuan LIAM bagi memastikan pengguna dapat membuat pilihan terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
“Kita mahu pengguna tahu dan faham perbezaan kos rawatan antara satu hospital dengan hospital lain kerana jurang harga itu boleh jadi sangat ketara,” katanya.-UTUSAN