SUBANG JAYA: Pelajar-pelajar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights tetap bersemangat hadir ke sekolah hari ini, meskipun dilanda musibah akibat letupan paip gas di sini, baru-baru ini.
Walaupun rutin harian sudah berbeza dan tidak lagi bersiap dari rumah, namun, mereka bersyukur kerana perkhidmatan van percuma bagi menjemput dan menghantar pulang dari sekolah disediakan.
Kegembiraan itu jelas terpancar di wajah pelajar tingkatan empat, Mohd Aidil Asyraf Mohd Nizam yang bersemangat bangun seawal pukul 5 pagi untuk melakukan persiapan.
Dia yang bersekolah di SMK USJ 8 bersyukur kerana baju sekolah dan peralatan seperti buku masih selamat dan boleh digunakan.
“Saya tetap rasa seronok hendak ke sekolah menaiki van percuma. Jadi, ibu dan ayah tidak perlu lagi menghantar saya ke sekolah.
“Saya berharap perkhidmatan van percuma ini disediakan setiap hari supaya memudahkan pergerakan kami ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Perkhidmatan pengangkutan pelajar dari PPS yang menjadi mangsa insiden letupan itu melibatkan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Prasarana Sdn. Bhd.
Meskipun tanpa uniform lengkap persekolahan, Alysya Hanni Shahir, 15, tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah.
Kongsi pelajar tingkatan tiga dari SMK USJ 23 itu, semasa kejadian, dia tidak sempat menyelamatkan kelengkapan persekolahan.
“Kami juga tidak dibenarkan pulang ke rumah untuk mengambil pakaian sekolah sebab kawasan tersebut sudah menjadi kawasan larangan.
“Saya bangun seawal pukul 6 pagi untuk bersiap. Saya juga bersyukur kerana ada kawan-kawan yang mesej bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat,” katanya.
Bagi Nur Hasrina Nordin, 39, dia berasa sedih apabila peralatan persekolahan anak-anaknya tidak sempat diselamatkan semasa insiden kebakaran di Kampung Kuala Sungai Baru.
Bagaimanapun, ibu tiga anak ini tetap cekal untuk memastikan anak-anaknya hadir ke sekolah walaupun tanpa uniform rasmi.
“Memang rutin setiap hari saya akan menghantar anak-anak ke sekolah menggunakan laluan yang terlibat dengan letupan itu.
“Rasa sedih pula tidak dapat menghantar mereka. Namun, anak saya tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah bersama kawan-kawan lain,” katanya.
Sementara itu, Fazidah Zakaria, 44, bersyukur kerana perkhidmatan van percuma memudahkan pergerakan dua anaknya yang menuntut di sekolah menengah.
Katanya, seawal pukul 5 pagi dia sudah mengejutkan dua anak untuk ke sekolah supaya tidak terlepas menaiki van.
“Selama ini memang saya menghantar anak ke sekolah. Namun, disebabkan kebakaran itu, kereta rosak dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya. – UTUSAN