Letupan paip gas: Lokasi tidak stabil, siasatan belum dapat dimulakan

Letupan paip gas: Lokasi tidak stabil, siasatan belum dapat dimulakan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kerja-kerja penyiasatan insiden letupan paip gas belum dapat dimulakan berikutan kawasan tersebut kini berada dalam fasa penstabilan awal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lokasi ‘ground zero’ terbabit tidak stabil akibat letupan kuat baru-baru ini dan kini ditakungi air hujan, menyebabkan risiko keselamatan masih tinggi untuk sebarang operasi siasatan dijalankan.

Jelasnya, pelan tindakan teknikal bagi fasa pemulihan bencana telah dirangka dan sedang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengaliran sementara air monsun yang melintasi laluan paip gas milik Petronas.

“Kerja-kerja pengaliran sementara ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya pada hari ini (6 April). Ia juga melibatkan kerja-kerja heat mapping dalam radius 300 meter dari kawasan letupan,” katanya dalam sidang akhbar di Putra Heights, hari ini.

Beliau berkata, fasa kedua pemulihan akan memfokuskan kepada usaha memastikan keselamatan serta kestabilan tanah di kawasan berkenaan sebelum kerja-kerja pengorekan untuk mendedahkan saluran paip gas boleh dijalankan.

Jelasnya, antara langkah penting dalam fasa kedua ini adalah aktiviti ground scanning, penilaian semula struktur tanah serta pemasangan shale pile bagi menstabilkan kawasan berisiko tinggi.

“Fasa ini dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 15 April depan dan akan membuka ruang kepada pasukan teknikal untuk mula mencari keterangan fizikal di lokasi kejadian,” katanya.

Selepas itu, katanya, fasa ketiga akan dimulakan bagi memudahkan proses siasatan pihak polis bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kerjasama semua pihak berkaitan akan diperkukuh dalam fasa ini bagi memastikan segala bukti dan petunjuk dapat dikumpulkan secara teliti dan selamat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, fasa keempat akan melibatkan kerja-kerja pemeriksaan teknikal, pembaikan kerosakan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terjejas akibat insiden berkenaan.

“Pihak Petronas akan mengetuai usaha pembaikian sistem paip gas tersebut selepas mendapat kebenaran daripada agensi penyiasatan dan pemantauan keselamatan.

“Segala tindakan diambil mengutamakan keselamatan awam serta memastikan operasi pemulihan dan siasatan berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya