SUBANG JAYA: Seramai 118 saksi dipanggil polis bagi membantu siasatan letupan paip gas Petronas di Putra Heights.
Sebanyak 15 daripadanya adalah kontraktor utama, subkontraktor dan pekerja-pekerja yang terlibat di lokasi letupan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua individu tersebut dirakam keterangan sebagai saksi kejadian termasuk satu laporan yang mendakwa ada individu bermain mercun pada malam 31 Mac lalu.
“Secara keseluruhan, kita menerima sebanyak 642 laporan polis setakat pukul 12 tengah hari ini. Siasatan masih dijalankan dari setiap sudut bagi mengenal pasti punca sebenar letupan.
“Kita alu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai. Segala maklumat dan rakaman video yang dihantar sedang diteliti satu per satu bagi membantu siasatan.
“Kita belum dapat sahkan punca sebenar dan laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights, hari ini.
Ditanya nama kontraktor yang terlibat dalam projek di lokasi bencana itu tidak didedahkan, beliau berkata, pihaknya memberikan tumpuan terhadap aspek penyiasatan terlebih dahulu.
“Fokus utama kami adalah kepada siasatan di lokasi kejadian, bukan mencari pihak yang bersalah secara tergesa-gesa kerana kes ini belum diklasifikasikan sebagai jenayah.
“Siasatan dijalankan di bawah kertas siasatan polis yang membolehkan pihak berkuasa memanggil individu untuk beri keterangan. Polis tidak boleh menuduh atau dedahkan nama mana-mana syarikat selagi siasatan belum selesai.
“Selepas siasatan lengkap dan punca kejadian dikenal pasti, barulah kita akan kenal pasti pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN