SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki warga Jerman ditemukan mati dipercayai terjatuh dari basikal yang ditunggangnya dalam kejadian berhampiran Masjid Perlop 1, Jalan Perlop 1 di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Mohd. Rohaizimi Razali berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 10.46 pagi membabitkan mangsa lelaki warga emas berusia 67 tahun.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang basikal bersendirian dari kediamannya di Ipoh ke Sungai Siput.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, basikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan pada basikal mangsa kecuali kesan calar selain barangan peribadi termasuk wang dan telefon bimbit masih berada bersama si mati,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan hasil laporan menunjukkan punca kematian lelaki terbabit akibat serangan jantung.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikaitkan dalam penemuan mayat mangsa dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Lokasi mangsa dipercayai terjatuh merupakan jalan lurus dan menuruni sedikit bukit. Sebelum ini mangsa dikatakan sering menunggang basikal di kawasan berkenaan sama ada secara bersendirian mahupun berkumpulan,” katanya. – UTUSAN