SEPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine bernilai lebih setengah juta ringgit di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 29 Mac lalu.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, suspek berusia 48 tahun ditahan sepasukan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek kemudian menemukan 15 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, dadah dengan anggaran berat 15,978 gram itu bernilai kira-kira RM511,296.
“Siasatan juga mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan tiga kesalahan jenayah lain malah, saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Sarawak, dengan modus operandi suspek ialah membalut dadah menggunakan plastik hitam dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri untuk mengelak dikesan.
Albany berkata, suspek kini direman sehingga 5 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurutnya, jumlah methamphetamine yang dirampas boleh membekalkan kepada 79,890 pengguna dalam tempoh sama.
“Kami menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi membantu membanteras jenayah ini secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN