SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan maut dipercayai akibat ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini, pagi tadi.
Menurut peniaga tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Salmah, mangsa sering berada di lokasi tersebut, biasanya dari tengah hari hingga malam, untuk meminta sedekah namun tidak pernah mengganggu orang awam.
“Dia tak paksa orang. Malah kalau ambil makanan pun, dia bayar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Salmah memaklumkan beliau tiba di gerainya sekitar pukul 12 tengah hari dan dimaklumkan oleh orang awam bahawa kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi.
“Waktu saya sampai, polis dah ada dan tengah siasat,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan bank, Ali, berkata mangsa kerap masuk ke dalam bank untuk merasa sejuk dari pendingin hawa, namun akan diminta keluar.
“Dia tak pernah buat kacau, cuma duduk saja di luar,” jelasnya.
Ali menyedari kejadian setelah melihat orang ramai mengerumuni mangsa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi. Polis kini menjalankan siasatan lanjut. – UTUSAN