MERSING: Kegembiraan tiga sahabat bermandi-manda di Pulau Mawar di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dipukul ombak dalam kejadian petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II Azman Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 2.37 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bomba terus dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
“Seorang mangsa lelaki warga tempatan berjaya menyelamatkan diri manakala dua rakannya dipercayai lemas dibawa arus deras.
“Seorang mangsa lelaki warga Singapura telah ditemukan terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri di permukaan pantai dan telah dibawa ke pesisir pantai oleh orang awam sebelum pihak kami tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, operasi diteruskan dengan menggunakan teknik mencari di permukaan laut di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, difahamkan seorang lagi mangsa yang masih hilang merupakan warganegera India. – UTUSAN