SEPANG: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok batu sebelum ‘melekat’ di papan tanda jalan raya di Jalan Dengkil – Kota Warisan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.15 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun maut serta-merta di lokasi kejadian akibat pelbagai kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, ketika kejadian, mangsa memandu kereta dari arah Dengkil ke Kota Warisan sebelum terbabit kemalangan.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah gagal mengawal motokar yang dipandu dan telah terbabas ke kiri jalan lalu merempuh tembok batu longkang.
“Impak dari perlanggaran tersebut, motokar mangsa telah berpusing dan terlanggar tiang papan tanda jalan raya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shan Gopal berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Inspektor Nurulsakela Ramlee di talian 019-5588221. – UTUSAN