KAMPAR: Seorang lelaki berumur 57 tahun ditemukan mati lemas selepas tergelincir dalam perigi semasa mengambil air dalam kejadian di Kampung Nyior, Batu 19 1/2 di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa pada pukul 7.52 pagi yang memaklumkan mangsa tergelincir dalam perigi pada waktu subuh.
“Ketua operasi mengarahkan anggota menaikkan mangsa menggunakan sistem tali.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Perigi tersebut sedalam tiga meter dan difahamkan menjadi sumber utama air bagi keluarga mangsa. – UTUSAN