SEJAK sebulan lalu, perbahasan mengenai kemaskulinan beracun atau toxic masculinity menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat khususnya di Britain, apabila drama bersiri Adolescence mengupas bagaimana topik ini memberi impak terhadap emosi dan mental seorang lelaki.
Di Malaysia, tiga tahun belakangan ini, banyak naskhah dan filem mula terbuka membahaskan sisi rapuh seorang lelaki. Kejantanan tidak wajar diukur dengan – lelaki tidak boleh menangis, tidak boleh berlembut, harus kuat dan jangan mengeluh.
Blood Brothers: Bara Naga yang disebut sebagai filem aksi terbaik Malaysia setakat ini secara tidak langsung turut membawa mesej yang sama. Ketua mafia bernama Ghaz lakonan Sharnaaz Ahmad dicipta sangat manusiawi, dengan tangisan, manja dan menyerah diri di depan orang yang disayang.
Menolak segala hukum kemaskulinan beracun yang berakar kuat dalam masyarakat.“Ini adalah tentang perkembangan karakter Ghaz, salahkah lelaki apabila dia merasa sakit? Salahkah lelaki menangis apabila dia rasa mahu membalas dendam?
“Sebenarnya apa yang Ghaz rasa perlu ditunjukkan kepada orang. Bagaimana lelaki maskulin, walau bawa kereta kebal juga boleh menangis. Apabila dia menangis, maknanya hatinya yang merintih.
“Saya melakonkan watak Ghaz iaitu abang kepada dua orang adik yang dilakonkan Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya. Sebenarnya di luar set penggambaran pun saya anggap mereka adik saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Sharnaaz menegaskan kejayaan Blood Brothers bukanlah hasil usahanya seorang tetapi semua yang mempertaruhkan keringat demi filem aksi ini. Jelasnya lagi, seluruh pelakon mengalami kecederaan namun masing-masing tetap hadir ke lokasi penggambaran untuk memberikan yang terbaik.
“Sebenarnya apa yang anda lihat terutama untuk babak aksi, peritnya hanya saya sahaja yang tahu. Bayangkan penggambaran bermula pagi. Kita berlawan pada pukul 6 pagi sampai matahari naik keesokan hari baru habis. Penatnya Tuhan sahaja tahu.
“Saya ingat lagi bersandar belakang Shuk lepas itu saya cakap, nanti bila kita tengok babak aksi ini di tayangan perdana, kita akan gembira. Kita akan rasa ‘sejuk’. Biarlah sekarang kita susah.
“Kami tetap hadir, cedera bagaimanapun saya tetap akan buat. Kami para pelakon tidak bercerita tentangnya. Tapi kami gembira filem ini berjaya diterbitkan,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, Sharnaaz juga masih ingat dia akan mempersoalkan semua perkara kepada pengarah iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra demi memastikan karakter Ghaz dijelmakan dengan tepat.
“Saya gaduh dengan pengarah hari-hari di set. Saya persoalkan semua perkara sebab mereka mencari kesempurnaan.
“Saya pun mahu cari sempurna daripada pemahaman saya.
“Mereka (produksi) boleh tulis karakter Ghaz itu, tapi saya yang akan hidupkannya. Saya puas hati kalau mereka boleh jawab semua soalan saya,” jelasnya.
Filem Blood Brothers: Bara Naga mengisahkan tentang persaudaraan dan kesetiaan dalam kumpulan mafia yang dikenali sebagai Naga teruji. Naskhah tersebut sudah menemui penonton sejak 10 April lalu.