MELAKA: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan merosakkan kereta milik bekas kekasihnya, bulan lalu.
Tertuduh, K. Mageshwaran, 24, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada J.A. Yetrina, 24, dengan kata-kata ugutan ‘akan menghancurkan hidup dengan cara menyebarkan gambar-gambar dalam media sosial’.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah rumah bernombor di Jalan Merbok 1/8, Taman Merbok dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Mac 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 426 kanun sama kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan bonet hadapan sebuah kereta milik wanita sama pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd. Rodzlad memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.