PETALING JAYA : Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dia keluar bekerja di sebuah premis di sini, sejak kelmarin.
Kehilangan Mohd. Fauzi Mohd Johan, 57, dilaporkan pada pukul 12.28 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, lelaki berkenaan didakwa kali terakhir dilihat berada di Sutera Damansara kira-kira pukul 9 pagi pada Isnin lalu.
Dia dilihat sebelum keluar bekerja di sebuah premis di Petaling Jaya dengan menaiki kenderaan e-hailing.
“Lelaki berkenaan berketinggian kira-kira 174 sentimeter dengan berat kira-kira 80 kilogram dan berkulit putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Mohd Fauzi diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu usaha mengesan lelaki berkenaan.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden, Mohd Nasir Mustapha di talian 013-2860448 atau 03-61421222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” jelasnya.-UTUSAN