SUBANG JAYA: “Sudah seminggu duduk di pusat pemindahan sementara (PPS), rasa rungsing tak boleh keluar bekerja. Bila dapat motor ini, rasa sangat lega sebab boleh bergerak keluar.”
Demikian luahan Nurul Balqis, 21, salah seorang mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini yang menerima bantuan motosikal percuma hasil inisiatif Kementerian Pengangkutan.
Menurut Balqis, dia dan adiknya, Nur Liyana, 19, berdepan kesulitan untuk bergerak sejak kejadian itu berlaku, sehingga mengganggu pekerjaan dan pembelajaran mereka.
“Kami memang perlukan motosikal sebab hanya ada lesen motor dan tidak boleh bawa kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyerahkan 55 buah motosikal percuma kepada mangsa yang terjejas di pekarangan Stesen LRT Putra Heights.
Seorang lagi penerima, Halif Khairi, 39, berkata, bantuan tersebut membolehkannya kembali bekerja sebagai juruteknik setelah semua kenderaan miliknya rosak dalam kejadian itu.
Sementara itu, Noorhaslizawati, 39, yang menerima dua buah motosikal berkata, bantuan tersebut amat melegakan memandangkan dia dan suami bergantung kepada motosikal untuk ke tempat kerja di USJ 1.
“Memang terasa hilang satu beban bila dapat bantuan ini,” ujarnya. – UTUSAN