PETALING JAYA: Seramai 5.4 juta orang menerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bermula hari ini.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, penerima yang layak menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.
Katanya, jumlah penerima Sara juga meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
“Sara merupakan pendekatan bantuan secara bersasar dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Penyaluran Sara melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” katanya.
Selain itu, peluasan ini adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara kepada RM13 bilion pada tahun ini iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.
Sementara itu 4.7 juta penerima STR yang tidak tersenarai dalam eKasih akan menerima bantuan baharu Sara RM50 sebulan bagi warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.
Kementerian turut memaklumkan, mulai tahun ini, penyaluran Sara melalui MyKad akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah sebelum ini hanya melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.
“Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lepas, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima Sara yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Di bawah program Sara, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun lalu.
Selain makanan asas, kredit Sara juga boleh digunakan untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan. – UTUSAN