KUALA LUMPUR: Seramai 50 pegawai dan anggota polis berkawal di sepanjang perkarangan Masjid Negara di sini bagi memastikan proses pengebumian Perdana Menteri Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi berjalan lancar.
Difahamkan kesemua anggota dan pegawai ditempatkan dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati seramai 10 anggota polis trafik mengawal lalu lintas di sekitar Masjid Negara di sini.
Kawasan sekitar Masjid Negara di sini turut dikawal ketat oleh pihak polis manakala hanya kenderaan membawa orang kenamaan dibenarkan masuk di perkarangan masjid.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa bersama Timbalannya, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Abdullah tiba kira-kira pukul 8.10 pagi di Masjid Negara di sini untuk istiadat pengebumian dengan dibawa menaiki van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Media semalam melaporkan Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira 7.10 malam. – UTUSAN